Sabtu, 26 Julai 2014

Kajian perubatan madu kelulut

WEDNESDAY, 27 MARCH 2013
Kajian tentang madu oleh profesor dari indonesia

USM dan universiti Indonesia kaji khasiat madu

Mafauzy Mohamed (kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman bagi menjalankan penyelidikan bersama khasiat madu lebah tempatan dengan D. A. Suriamiharja di Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 8 Jun - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universitas Hasanuddin Makasar, Indonesia, melibatkan penyelidikan saintifik mengenai khasiat madu lebah tempatan sebagai sumber penjagaan kesihatan.
Pada majlis itu, USM diwakili oleh Pengarah Kampus Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed, manakala Universitas Hasanuddin diwakili oleh Pembantu Rektor Bidang Akademiknya, D.A Suriamiharja.
USM turut menandatangani MoU dengan syarikat Aifa Health Sdn. Bhd., yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Aisan Fadhli Ab. Halim bagi membiayai sebahagian penyelidikan tersebut.
Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Penyelaras Penyelidikan Perubatan Tradisional dan Komplimentari, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Kampus Kesihatan, Prof. Madya Dr. Siti Amrah Sulaiman dan Penyelaras Projek, Prof. Syed Mohsin Sahil Jamalullail.
Sementara itu, Dr. Mafauzy dalam ucapannya berkata, USM menggalakkan pensyarah dan pelajarnya mempelopori strategi teknologi hijau dengan menjalankan penyelidikan bagi membantu golongan miskin.
Beliau berkata, bagi penyelidikan berasaskan madu, USM menyediakan lebih RM2 juta geran penyelidikan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak lima tahun lalu.
Selain itu katanya, USM juga meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat bagi penyelidikan projek ternakan lebah kelulut sebagai sumber pendapatan kepada golongan kurang berkemampuan.
"Hasil penyelidikan itu memberi nilai tambah kepada madu tempatan menyebabkan permintaan melebihi bekalan. Ini kerana, madu lebah diketahui mengandungi bahan anti-oksidan yang tinggi dan ia amat baik untuk kesihatan," katanya.
Mengenai MoU yang dimeterai, beliau berkata, sebahagian besar penyelidikan akan dijalankan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan syarikat Aifa Health secara prinsipnya bersetuju menyumbangkan dana untuk mengadakan makmal efikasi praklinikal bagi tujuan tersebut.
Beliau sehubungan itu menyarankan pensyarah dan penyelidik USM menjalin kerjasama dengan penyelidik dari dalam dan luar negara bagi meningkatkan kualiti penyelidikan mereka
Dipetik dari Utusan Malaysia: ARKIB : 09/06/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan